NOOR AZWATI BT MOHD MUSTAFFA

PELAJAR IPT LEMAH BAHASA INGGERIS

Dewasa ini, masalah kelemahan menguasai bahasa Inggeris semakin serius di kalangan pelajar-pelajar tidak kira di peringkat sekolah rendah, menengah atau di peringkat universiti. Lebih membimbangkan lagi, masalah ini menular di kalangan pelajar Melayu. Di sini, saya ingin mengkhususkan kepada kelemahan pelajar IPT dalam mengusai bahasa Inggeris. Mari kita sama-sama fikirkan mengapakah masalah ini berlaku khususnya di kalangan pelajar Melayu?

Dalam rencana ini, saya ingin memfokuskan permasalahan kepada pelajar-pelajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Seperti yang kita sedia maklum, USIM menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Tetapi ada segelintir dari pelajar-pelajarnya masih lagi lemah dalam menguasai bahasa Inggeris. Menurut Cik Juliana Niza bt Ismail Adnan, penyelaras program MUET di Universiti Sains Islam Malaysia, beliau berpendapat punca pelajar USIM lemah bahasa Inggeris adalah berpunca dari pemikiran mereka yang tidak maju. Pelajar USIM selalu berpendapat jika bertutur dalam bahasa Inggeris, mereka akan melupakan bahasa Melayu.

Menurut beliau lagi, pelajar-pelajar juga jarang mempraktikkan bahasa Inggeris yang mereka pelajari. Dengan lebih jelas lagi pelajar-pelajar teramat malas untuk membuat ulangkaji dan mereka juga tidak memgamalkan ilmu yang mereka pelajari di dalam kelas. Kebanyakkan pelajar-pelajar USIM juga terlalu kurang membaca bahan bahasa Inggeris, tidak mengambil tahu isu-isu semasa dan pemikiran mereka terlalu cetek. Mereka tidak mempunyai minat untuk membaca suratkhabar bahasa Inggeris dan pelajar-pelajar juga terlalu memfokuskan minat mereka kepada bacaan yang berbentuk hiburan sahaja contohnya mereka lebih berminat kepada suratkhabar hiburan seperti Kosmo dan Harian Metro. Cik Juliana Niza menambah lagi pendapat beliau mengatakan bahawa pelajar-pelajar akan membaca bahan bahasa Inggeris apabila disuruh sahaja. Normalnya, seseorang akan lebih terasa bosan apabila melakukan sesuatu dengan paksaan dan begitu juga dengan pelajar-pelajar akan cepat bosan apabila membaca sesuatu bahan yang mereka tidak suka. Faktor ini juga secara tidak langsung menyumbangkan kepada kelemahan pelajar USIM dalam menguasai bahasa Inggeris dan juga lemah di dalam MUET. Inilah yang membimbangkan kerana jika pelajar-pelajar tidak lulus MUET, sukar bagi mereka untuk mendapat pekerjaan di masa akan datang.

Bagi pendapat Puan Suhaili Abdul Jalil pula yang merupakan pensyarah bahasa Inggeris dari Unit Bahasa Inggeris USIM berpendapat, punca pelajar-pelajar lemah menguasai bahasa Inggeris adalah kebanyakan pelajar-pelajar USIM memandang bahasa Inggeris hanya sebagai subjek. Mereka belajar bahasa Inggeris semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan. Mereka juga menganggap bahasa Inggeris adalah sesuatu yang membosankan dan menyusahkan. Apabila mereka telah menganggap begitu, terlalu mustahil bagi mereka untuk meminati bahasa Inggeris. Pelajar-pelajar juga tidak mahu melatih diri mereka untuk mencuba berulang kali bertutur dalam bahasa Inggeris antara satu sama lain. Kebanyakkan pelajar Melayu tidak mahu mencuba dan takut kepada kesalahan.

Pelajar- pelajar juga mempunyai sifat malu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Sesetengah daripada mereka menganggap apabila bertutur dalam bahasa itu, mereka akan diejek dan dipulaukan. Inilah masalah pelajar Melayu, takut kepada ejekan rakan-rakan sehingga membawa keburukan kepada diri sendiri. Hakikatnya, pelajar Cina lebih maju dan pakar dalam bahasa Inggeris kerana mereka berani mencuba dan tidak takut kepada ejekan-ejekan yang boleh melemahkan diri mereka. Pelajar USIM juga tidak mahu mengubah sikap mereka dan hanya bergantung semata-mata kepada pensyarah-pensyarah untuk memajukan mereka. Sepatutnya di peringkat universiti tidak berlaku lagi perkara sebegini. Pelajar-pelajar sepatutnya berusaha sendiri untuk memperbaiki kelemahan diri. Pelajar-pelajar sepatutnya mencari pensyarah bukan pensyarah yang mencari pelajar. Tetapi sekarang ini, kebanyakan pensyarah yang berusaha untuk memperbaiki kelemahan pelajar yang lemah menguasai bahasa Inggeris.

Menurut pendapat Puan Milazita Md Zin, seorang guru bahasa Inggeris dari Pahang, melalui pengalamannya mengajar bahasa Inggeris, beliau berpendapat punca pelajar lemah bahasa Inggeris adalah disebabkan latar belakang sosial pelajar itu. Pelajar luar bandar kurang terdedah dengan penggunaan bahasa Inggeris. Disebabkan itu, mereka terlalu terhad untuk menggunakan bahasa Inggeris. Mereka juga mempunyai pengetahuan yang sedikit terhadap bahasa Inggeris dan tidak memberi peluang untuk berinteraksi. Pelajar juga kurang motivasi diri terhadap kepentingan bahasa Inggeris. Mereka malas untuk mengulangkaji dan menambah pengetahuan dari segi pemahaman terhadap ayat-ayat Inggeris yang sukar.

Beliau menambah lagi pelajar mempelajari bahasa Inggeris hanya untuk lulus peperiksaan. Sikap ini ada pada kebanyakan pelajar dan menyebabkan mereka tidak mahu ambil tahu terhadap perkataan baru yang tidak pernah didengar. Mereka hanya bergantung kepada kurikulum sedia ada. Pelajar-pelajar juga malu untuk menyebut perkataan Inggeris. Mereka tiada keyakinan diri untuk bertutur dan mengalami masalah untuk menyebut sesetengah perkataan dengan betul. Kebanyakan pelajar kurang pengetahuan dari aspek tatabahasa. Contoh paling mudah apabila pelajar yang kurang menguasai tatabahasa ini menulis sesuatu topik dalam bahasa Inggeris tidak dapat menulis sesuatu perkataan itu. Inilah hakikat yang berlaku kepada pelajar Melayu yang lemah menguasai bahasa Inggeris.

Pelajar-pelajar juga tidak mahu “menjelajah” dengan lebih mendalam terhadap bahasa Inggeris dan terlalu obses dengan bahasa itu. Mereka menganggap bahasa Inggeris sukar difahami dan sukar untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Mengapa pelajar IPT mempunyai pemikiran yang terlalu cetek terhadap bahasa antarabangsa ini sedangkan bahasa Inggeris amat penting untuk membawa seseorang itu kearah kemajuan.

Bagi pendapat Noraina bt Mohd Mustaffa pelajar dari Kuala Lipis, Pahang, beliau berpendapat punca pelajar lemah bahasa Inggeris ialah kebanyakan dari mereka kurang tatabahasa, tiada keyakinan diri dan malas untuk berusaha lebih untuk memantapkan bahasa Inggeris mereka. Kebanyakan pelajar hanya bergantung kepada guru-guru sahaja. Mereka seolah-olah tidak mahu berdikari sendiri dan hanya menunggu guru-guru “menyuapkan” ilmu kepada mereka. Mentaliti pelajar-pelajar juga masih berada di takuk lama dan tidak mahu menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.

Memandangkan masalah ini terlalu serius, kita sepatutnya memikirkan cara-cara untuk mengatasi pelajar-pelajar yang lemah bahasa Inggeris ini. Pelajar-pelajar sepatutnya berusaha lebih dalam memperbaiki diri mereka. Dapatkan bimbingan dari pensyarah-pensyarah bahasa Inggeris apabila mempunyai masalah dalam bahasa Inggeris, menghadiri kelas pemantapan bahasa Inggeris dan memperbanyakkan bahan bacaan bahasa Inggeris serta tatabahasa bahasa Inggeris. Pelajar-pelajar juga seharusnya memiliki idea yang matang dalam sesuatu isu untuk memudahkan lagi pelajar menghuraikan isi dengan terperinci. Perbanyakan juga membaca istilah-istilah bahasa Inggeris untuk memantapkan lagi penguasaan dalam bahasa Inggeris. Pelajar-pelajar jangan terlalu menghadkan pemikiran mereka jika mahu pandai menguasai bahasa Inggeris.

Sememangnya kita tidak boleh menafikan bahawa bahasa Inggeris mempunyai kepentingan yang besar didalam hidup kita terutamanya kepada pelajar-pelajar. Bahasa Inggeris adalah bahasa global, bahasa kemajuan dan bahasa komunikasi yang utama selain bahasa Melayu. Bahasa Inggeris juga amat penting untuk melayakkan diri kita berada setaraf dengan era globalisasipada masa sekarang dan akan datang. Seharusnya kita terutama pelajar-pelajar perlu ada kesedaran terhadap penguasaan bahasa Inggeris bukan bermakna kita mendaulatkan bahasa “penjajah” itu, tetapi untuk membawa kita setaraf dengan kemajuan dunia hari ini. Bahasa Melayu tetap berdaulat di hati orang Melayu dan tiada alasan untuk kita tidak boleh menguasai bahasa Inggeris seperti orang lain. Pepatah ada mengatakan “Nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Hanya orang malas sahaja yang tidak mahu mengubah diri mereka.

Dalam dunia ini, tiada perkara yang mustahil untuk kita lakukan. Sedangkan orang kafir boleh menguasai bahasa Arab, mengapa kita tidak boleh menguasai bahasa Inggeris? Semua ini bermula dari diri kita sendiri. “Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan”. Siapa yang berusaha maka dialah yang beroleh kejayaan. Segala amal dan usaha di dalam hidup kita adalah didorong oleh fikiran dan batin kita. Di dalam batin kita terletak pertimbangan di antara buruk dan baik, cantik atau jelik. Sedangkan agama Islam menyukai dan amat menggalakkan umatnya berusaha untuk memajukan diri mereka. Kita diberi akal untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Pelajar-pelajar USIM seharusnya mengambil inisiatif untuk memahirkan lagi penguasaan dalam bahasa Inggeris setanding dengan pelajar-pelajar universiti yang lain.

.