Melayu jangan selesa biarpun hak terjamin

DASAR kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu amat jelas iaitu memastikan pengagihan kek ekonomi di kalangan rakyat berlangsung secara seimbang.

Begitu juga dalam hal mengetengahkan agenda pembangunan. Ia mengambil kira keperluan pelbagai lapisan rakyat sama ada yang tinggal di bandar-bandar mahupun di ceruk pedalaman.

Paling penting keseimbangan dari sudut politik, ekonomi dan sosial dalam masyarakat majmuk di negara yang bernama Malaysia ini tidak mengenal kaum.

Jika kerajaan berusaha memajukan kaum Melayu, maka usaha yang sama turut digunakan untuk melonjakkan kedudukan kaum Cina dan India di negara ini.

Sebab itu ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) digubal, biarpun ia dilihat oleh banyak pihak bertujuan membantu bumiputera semata-mata, namun jangkauannya lebih daripada itu.

DEB diperkenalkan dengan harapan agar tiada mana-mana kaum terpinggir daripada arus pembangunan, malah ia disifatkan sebagai satu agenda nasional yang menyeluruh.

Semestinya dasar seumpama itu juga diwujudkan untuk menghapuskan rasa cemburu berbilang kaum berasaskan kepada pentakrifan ekonomi.

Dalam hal-hal pendidikan misalnya, kerajaan juga tidak pernah mengabaikan mana-mana kaum. Kesemua rakyat Malaysia mendapat hak serta layanan sama rata.

Hakikatnya, DEB banyak melindungi rakyat Malaysia daripada terjebak ke dalam perbalahan antara kaum. Ini kerana dengan adanya dasar seumpama itu jelas menunjukkan bahawa tiada siapa yang merampas hak siapa.

Juga tiada siapa yang perlu berasa kurang selamat jika kerajaan kelihatan ‘seolah-olah’ terlebih memberi tumpuan kepada kumpulan yang satu lagi.

Pendek kata, jika kerajaan memberi bantuan kepada kaum-kaum lain, itu tidak bermakna hak dan kepentingan orang Melayu akan terjejas, jauh sekali bangsa Melayu akan terpinggir.

Sebab itu apabila Perdana Menteri memberi jaminan seumpama itu, semua pihak mesti faham. Bagaimanapun kefahaman itu tidak boleh disertai dengan rasa selesa kerana hakikatnya cabaran di luar sana lebih besar dan bakal menentukan jatuh bangun bangsa Melayu biarpun sekukuh mana jaminan yang diberi.

Biarpun ada jaminan bahawa orang Melayu akan terus dibantu, namun pemikiran bangsa itu mesti diubah supaya tidak terlalu bergantung kepada ‘jaring keselamatan’ sedia ada.

Sudah tiba masanya orang Melayu berusaha dan membuktikan usaha gigih mereka membuahkan hasil sehingga dapat membuka mata kaum lain.

Sikap terlalu bergantung atau selalu menyalahgunakan peluang yang diberi seharusnya dihentikan.

Orang Melayu perlu sentiasa ke depan dan mengatur langkah sendiri untuk menyahut cabaran global yang akan menidakkan sebarang bentuk jaminan yang ada.