forum

Jangan biar Mini Jakarta, Little Nepal rosak imej KL

SEOLAH-OLAH menjadi kelaziman pada setiap kali cuti umum dan cuti perayaan, beberapa tempat tumpuan pelancong di Kuala Lumpur akan dibanjiri oleh puluhan ribu pendatang asing. Ramai melihat situasi ini dari sudut yang negatif sahaja. Bagaimanapun pada pendapat saya sebenarnya kebanjiran pendatang ini ada pro dan kontranya tersendiri.

Sebenarnya pendatang asing ini mampu menjadi duta kecil bagi mempromosikan negara sebagai sebuah destinasi pelancongan apabila mereka pulang ke negara masing-masing kelak. Ini sejajar dengan hasrat kementerian yang menyasarkan 60 peratus pelancong asing adalah terdiri daripada kalangan negara Asia.

Sungguhpun begitu, lautan pendatang asing yang membanjiri beberapa lokasi ibu negara seperti di KLCC, Puduraya, Medan Pasar dan sebagainya akan memberi kesan negatif jika tidak dikawal dengan sewajarnya terutama kesannya terhadap imej negara.

Ramai sudah maklum sikap pendatang ini yang kebanyakannya pengotor, selekeh dan menjadikan Kuala Lumpur tidak ubah seperti kampung halaman mereka sendiri.

Jika tidak percaya lihat sajalah kawasan Chow Kit dan Medan Pasar (berhampiran Puduraya) yang telah sekian lama menjadi igauan ngeri warga kota disebabkan ramainya pendatang di sini sehinggakan masing-masing digelar dengan nama Mini Jakarta dan Little Nepal.

Di samping terkenal dengan kesibukannya, lokasi tersebut juga terkenal dengan lautan sampah-sarap yang amat menyakitkan mata memandang.

Nisbah jumlah orang ramai dan tong sampah yang tidak mencukupi juga memburukkan lagi keadaan, natijahnya mereka dengan sesuka hati melambakkan sampah-sarap di tepi kaki lima sehingga mewujudkan suasana yang amat menjijikkan. Mereka tidak kisah membuang sampah-sarap di merata-rata tempat kerana bagi mereka, ini bukanlah negara mereka yang harus dijaga tahap kebersihannya, maka tidak keterlaluan jika dikatakan Kuala Lumpur kotor kerana pendatang asing.

Bayangkan imej Kuala Lumpur di mata pelancong asing yang akan beranggapan ibu negara hanya bersih di tempat-tempat tumpuan pelancong sahaja tetapi tidak di tempat bukan tumpuan mereka, ini amatlah mendukacitakan.

Kebanjiran pendatang pada setiap kali cuti umum mengundang pelbagai masalah. Lihat saja gelagat mereka di KLCC yang sangat menjengkelkan. Mereka memijak pokok bunga, membuang sampah, meludah di merata tempat dan berkelakuan tidak senonoh sehinggakan menimbulkan suasana yang tidak selesa kepada penduduk tempatan dan pelancong.

Seharusnya, pihak DBKL mendenda mereka yang melakukan kesalahan tersebut dan DBKL juga sepatutnya mendirikan papan amaran sementara (yang menggunakan bahasa pendatang dan Inggeris) di tempat tumpuan mereka ini yang melarang mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Papan amaran ini juga mampu menjadi sumber untuk menjelaskan kepada pelancong yang mungkin tertanya-tanya akan kebanjiran manusia yang luar biasa ini secara tiba-tiba.

Di samping itu, anggota polis juga perlu dikerah untuk membuat pemantauan agar tindak-tanduk mereka lebih terkawal dan tiada lagi kejadian tidak diingini berlaku seperti pergaduhan antara kumpulan pendatang dari Indonesia pada malam ambang merdeka dahulu.