SETELAH banyak harta benda musnah, kanak-kanak menjadi yatim piatu, isteri bergelar balu dan beratus-ratus lagi penduduk Kenya terbunuh dalam keganasan sejak pilihan raya pada bulan Disember lalu, akhirnya sinar di hujung terowong muncul juga.

Para pemimpin politik yang bertelagah – Presiden Mwai Kibaki dan pemimpin pembangkang Raila Odinga yang menuduh berlakunya penyelewengan dalam pilihan raya, bersetuju untuk berkongsi kuasa mentadbir negara benua Afrika itu selepas campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kini, Kenya bakal memiliki sebuah kerajaan baru yang dalam masa dua atau tiga minggu akan datang selepas ahli Parlimen selesai bersidang meluluskan perjanjian perkongsian kuasa yang menamatkan pertelingkahan berdarah yang berlaku sejak berminggu-minggu sehingga menyaksikan lebih 1,500 mati.

Setakat ini, Odinga dikatakan menjadi Perdana Menteri tetapi struktur dan program kerajaan baru itu masih belum dimuktamadkan. Pemimpin pembangkang itu dilihat akan diberikan jawatan baru yang belum pernah diperuntukkan dalam perlembagaan negara itu sebelum ini.

Dan kini, kedua-dua pihak dijangka menjualkan idea berkongsi kuasa kepada penyokong mereka daripada puak-puak berbeza yang kebanyakan hilang tempat tinggal dan juga orang tersayang.

Ironi sekali, selepas begitu banyak nyawa yang terkorban barulah kedua-dua pemimpin mengakui kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding dengan kepentingan diri sendiri.

Sungguhpun begitu, persoalan besar masih wujud tentang bagaimana perkongsian kuasa dapat dilakukan dan bagaimana jawatan Kabinet dan jawatan kanan diperuntukkan.

Kuasa Odinga dan tanggungjawabnya juga masih dalam kesamaran sama ada beliau bakal mempunyai kuasa yang setara dengan Presiden ataupun sekadar berkhidmat di bawah bekas musuhnya.

Ini bukan kali pertama kedua-dua pihak membentuk kerajaan bersama sebelum ini, namun ia hanya mampu bertahan tiga tahun selepas dibentuk pada tahun 2000.

Bersandarkan hakikat ini, mampukah perkongsian kuasa itu akan menjadi asas kepada perdamaian dan juga kestabilan negara Afrika itu.

Selain itu, rakyat Kenya juga akan berdepan dengan realiti yang terpaksa ditelan mereka dengan apa yang terjadi selepas segala ketidakadilan dan juga keganasan akan disiasat dalam usaha memastikan keamanan dan kemakmuran negara Afrika dipertahankan.

Ketika Kenya kini keluar daripada salah satu sejarah paling hitam dan minggu yang mendatang akan menjadi medan ujian sebenar komitmen kedua-dua pihak bertelagah. Namun begitu, mampukah satu perubahan dilahirkan sekali gus membentuk satu keadaan politik yang lebih pragmatik.